Assalamualaikum wbt.
Pejam celik rupa-rupanya cuti semester berlalu. Begitu jugalah kata-kata hikmah yang mengatakan masa itu ibarat emas, ianya sangat berharga dan kita perlu menghargainya dengan sebaik mungkin. Ada juga pepatah yang mengatakan masa itu ibarat pedang yang sangat tajam, kita perlu menggunakannya dengan baik jika tidak ia akan memotong diri kita sendiri.
Sudilah saya berkongsi pengalaman-pengalaman semasa berada dalam cuti semester yang lalu yang agak berlainan jangka bercuti iaitu selama 3 bulan lebih kerana calendar pembelajaran di kolej berdasarkan di universiti di Jordan.
Apa yang saya mahu berkongsi ialah tentang pengalaman menjadi fasilitator untuk program yang dianjurkan oleh Institut Kemahiran Belia Negara,Dusun Tua,Hulu Langat,Selangor. Peserta program terdiri daripada pelajar-pelajar IKBN tersebut dan ini adalah yang ketiga kali saya dan beberapa sahabat yang lain turut serta sebagai fasilitator.
Program kali ini dianjurkan bagi memperkasakan lagi ilmu pengajian
Al-Quran seperti mengaji,mengenal asas tajwid & mengenal makhraj huruf. Tak kenal maka tak cinta, satu pepatah yang selalu terjadi kepada sesiapa sahaja yang suka mengamalkan pepatah judge a book by its cover. Pada mulanya sebahagian pelajar memang menampakkan bahawa diri mereka itu seperti dipaksa atau boleh dikatakan memang dipaksa. Itulah tugas yang perlu fasilitator yang turut serta perlu galas supaya peserta program dapat menghayati dan mendapat input yang baik daripada program yang dianjurkan.
Teringat saya pada pertanyaan seorang peserta.’Ustaz, saya ni agak susah la nak baca tulisan jawi’,kata peserta itu. Saya pun bertanyakan sebabnya. Dia pun menjawab,’ Ada ke patut orang yang tulis jawi tu tak tulis sekali dengan baris.macam mana saya nak baca kan ustaz.’ Saya pun senyum kepadanya dan terus menjawab,’ Tulisan jawi memang tidak perlu apa-apa baris pun. Tulisan arab atau ayat Al-Quran barulah perlu kepada baris untuk membacanya dengan betul.’ ‘oh! Begitu rupanya, sambil dia ketawa kerana baru menyedari.
Bukan senang untuk sesiapa pun mengajar seseorang yang sudah menjangkau usia remaja tentang ilmu asas membaca Al-Quran atau apa sahaja, namun bukan susah untuk kita berusaha supaya mereka ini tidak mengalami kekosongan jiwa yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak anak muda pada zaman yang serba mewah dan canggih ini.
Kepada sesiapa sahaja yang tahu bahawa diri kita sendiri boleh menyampaikan apa-apa yang berguna kepada sesiapa sahaja, sampaikanlah kerana Rasulullah saw pernah bersabda sampaikanlah walaupun satu ayat. Ini menunjukkan betapa pentingnya industri dakwah dalam kalangan masyarakat terutama anak-anak muda kerana anak-anak muda atau dalam erti kata lain belia,adalah pelapis pemimpin pada masa hadapan. Ingatlah semua, ini adalah tanggungjawab kita bersama insyaAllah.
No comments:
Post a Comment