Assalamualaikum wbt,
Pada cuti semester yang lepas, saya telah menerima panggilan untuk menjadi salah seorang daripada golongan yang saya hormati iaitu sebagai guru di sebuah Sar Kafa yang berdekatan dengan rumah. Pada mulanya agak keberatan untuk menerima kerana menyedari kekurangan ilmu yang ada di dada tetapi memandangkan pihak yang memanggil benar-benar kekurangan guru sementara, saya pun menerima tawarannya itu.
Seperti biasa seorang guru atau di sekolah itu dipanggil ustaz, perlu datang awal untuk melapor diri. Entah kenapa hati tiba-tiba berdebar melihat pelajar-pelajar yang sedang menunggu untuk mengadakan perhimpunan. Inilah kali pertama berhadapan dengan pelajar-pelajar yang rata-rata berusia 5 hingga 11 tahun.
Setelah bertemu dengan pengetua sekolah itu untuk mengetahui kerja-kerja yang perlu dilakukan bermulalah langkahku sebagai pendidik.
Didalam hati ini Allah sahaja yang mengetahui betapa gementar dan takutnya namun semua itu perlu dilalui dengan tabah dan tenang.
Hari pertama agak sukar atau secara jujur agak menyakitkan kepala sehingga hampir mengalami demam. Dengan keadaan kelas yang kecil, tetapi ‘didiami’ pelajar-pelajar yang agak nakal dan bising. Seorang melompat kesana kesini,seorang berlari dibawah meja,seorang terselit didalam bakul sampah. Jikalau ikutkan hati, boleh terbalik kelas dibuatnya tetapi itulah cabaran sebagai guru di sekolah rendah khususnya. Kadang=kadang marah dan rotan bukanlah penyelesaian yang diperlukan dalam bidang mengajar, seperti kata pepatah rambut manusia sama hitam tapi hati manusia siapa yang tahu. Samalah seperti perangai ataupun penerimaan pelajar-pelajar sekolah, bukan semuanya boleh disedarkan dengan marah atau rotan, ada juga dengan hanya memberikan sedikit kaunseling.
Itulah asam garam yang terpakse ditempuh oleh seorang manusia yang bergelar pendidik. Antara yang paling saya ingat ialah soalan seorang pelajar perempuan kepada saya. ‘Ustaz alif,ustaz alif,,ustaz alif dah kahwin ke belum?’tanya pelajar itu kepada saya. Dengan sedikit ketawa saya pun menjawab ‘ Belum lagi,kenapa tanya macam tu?’ ‘ Padanlah ustaz alif tak garang,ustaz yang lain semua garang sebab dah kahwin’ jawab pelajar itu. Pandai pula pelajar itu membuat kenyataan yang agak melucukan itu.
Hari berganti hari sudah hampir sebulan menimba pengalaman sebagai ustaz di sekolah kafa itu. Rupa-rupanya agak seronok menjadi sebahagian daripada keluarga di sekolah itu. Pernah juga satu hari saya merasakan bahawa alangkah baiknya jika ini adalah pekerjaan tetap.
Macam-macam ragam dan perangai budak-budak yang ada di sekolah itu. Sebenarnya itu bukanlah cabaran yang sukar tetapi itulah yang menjadikan sebuah sekolah itu menarik dan menjadikan seorang guru itu amat menyayangi anak muridnya. Barulah saya sedar dan tahu kenapa guru-guru semasa di zaman persekolahan dulu menangis dan sedih sangat apabila ditukarkan ke tempat yang baru. Kemungkinan perasaan itu akan datang dalam diri ini tidak lama lagi.
Antara tugas yang diterima ialah menjadi guru kelas mengaji dan juga mengajar madah fardhu ain seperti akidah,ibadah,sirah dan tajwid. Setiap ustaz atau ustazah dibekalkan dengan bahan-bahan seperti buku rujukan sebagai alat bantuan mengajar. Walaupun susah tetapi kepuasan mengajar dengan baik menghilangkan segala penat lelah yang ada.
Sedar tak sedar, sudah tiba hari yang ditunggu pada mulanya,tetapi rasa seperti hendak lari apabila menemuinya. Tak kenal maka tak cinta,bila dah kenal barulah cinta. Antara saat yang paling mengharukan apabila ada yang menghulurkan surat dan kad raya.
Assalamualaikum ustaz,
Di hari yang mulia ini, ingin saya meminta maaf dengan ustaz. Saya tahu, saya dah banyak buat salah dan silap. Semoga di luar Negara nanti ustaz ingat saya dan kawan-kawan lain di kafa. Semoga ustaz dipanjangkan umur.
Ingatan syawal DRP
Afifah Husna BT Ahmad
Ini antara surat yang diterima. Walaupun masih boleh berjumpa dengan mereka namun suasana seperti dahulu pasti tidak akan terasa lagi.
Jadi dikesempatan ini saya ingin menyampaikan salam kepada semua warga Sekolah Agama Rakyat KAFA ALIF di SG Isap, Kuantan.
Kepada pelajar-pelajar berusahalah dengan bersungguh-sungguh, sayangi ustazah dan ustaz anda semua. Ini adalah masa untuk anda berjuang seperti seorang pejuang di medan perang. Capailah seberapa banyak ilmu yang boleh anda capai dengan usaha terbaik. Dan kepada semua pendidik khususnya kepada ustaz dan ustazah di SAR KAFA Alif, terima kasih kerana anda semua sanggup menghadapi pelbagai kesukaran demi pelajar-pelajar supaya menjadi seorang yang berguna kepada agama. Namun ingatan kepada pelajar-pelajar, kebanyakan daripada anda semua datang dengan kereta dan motor dihantar oleh ahli keluarga dan ibubapa tanpa perlu berpenat lelah jadi hargailah pengorbanan guru-guru anda kerana ada diantara mereka sibuk menguruskan perkara yang penting dan ada juga yang sanggup berkayuh semata-mata untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik tanpa mengenal erti penat lelah..
Yudan taiteki issun sakiwayami
(unpreparedness is one's greatest enemy, a black hole might be an inch ahead)
No comments:
Post a Comment