Assalamualaikum wbt,
MasyaAllah, sudah hampir sebulan kita semua melalui Madrasah Ramadhan. Apakah yang telah kita pelajari, hayati dan fahami sepanjang berada dalam bulan yang penuh barakah ini? . Berlalunya ia sekali lagi dalam roda kehidupan kita dan kita tangisinya lagi untuk beberapa ketika dan berdoa semoga bertemu kembali pada tahun akan datang tetapi, adakah semua perbuatan kita itu memberi kesan keatas diri kita dan juga ibadah kita kepadaNya? . Persoalan yang perlu direnungkan oleh setiap insan yang bergelar muslim.
Bulan Ramadhan banyak memberi kesan yang positif pada masyarakat dari segi perbuatan dan aktiviti semasa di dalamnya. Namun begitu, bulan Ramadhan tidak cukup hanya dengan menjadi seorang yang baik hati, seorang yang penyabar, seorang yang dermawan dan apa-apa sahaja walhal pada bulan yang lain amat ketara sekali perbezaan jika dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukan pada bulan Ramadhan. Alangkah ruginya bagi sesiapa yang melakukan perkara yang sedemikian, menjadi seorang yang melakukan ibadah siang dan malam pada bulan Ramadhan tetapi menjadi seorang yang miskin dalam melakukan ibadah-ibadah pada bulan-bulan yang lain.
Susah untuk seseorang itu berubah dari segi ibadahnya kepada Allah swt. Salah satu faktor yang akan menambahkan kesedaran kepada seseorang tentang pentingnya ibadah tidak kira yang fardhu ataupun yang sunat adalah usia. Dengan usia yang sudah menjangkau 30 tahun dan keatas seseorang itu akan mule menyedari tentang betapa berharganya masa yang telah dia rugikan pada zaman remaja dahulu dan akan cuba untuk memenuhi waktu-waktu ibadah yang telah diwajibkan dan berazam untuk tidak meninggalkannya lagi. Alhamdulillah kerana diberikan lagi rezeki usia yang panjang, sempat untuk bertaubat dan beribadah kepada Allah swt, namun, bagaimana pula bagi yang tidak mempunyai kesedaran langsung.?. fikirlah, fahamilah, hayatilah kenapa kita dilahirkan di muka bumi Allah swt ini.
Kita semua diberikan kesempatan melalui Madrasah Ramadhan Mubarak dengan tujuan untuk menjadikan taqwa kita kepadaNya melebihi segala-galanya di dunia ini. Tidak ada yang lebih berkuasa selain daripada Allah swt. Tetapkanlah hati kita padaNya dalam apa jua yang kita lakukan dan yang kita impikan. Moga apa yang kita perolehi daripada perbuatan dan cita-cita kita semuanya di dalam barakahNya.
Janganlah muak dalam melakukan ibadah kepadaNya, janganlah hanya pentingkan pada ganjaran yang akan diperolehi, kerana jika setiap ibadah yang kita lakukan hanya keranaNya, lebih bermanfaat bagi kita sebagai hambaNya daripada kita hiraukan tentang ganjaran-ganjaran itu. Teruskanlah, teruskanlah aktiviti ibadah kita semua. Berdoalah agar Ramadhan Al-Mubarak yang akan datang akan kita ketemu lagi..ameen..insyaAllah..