Monday, August 23, 2010

Siapa Dulu..??

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, kini telah memasuki fasa Ramadhan yang kedua. Apakah yang kita semua dapat setelah melalui fasa yang pertama yang baru sahaja meninggalkan kita?, dan belum pasti akan ketemu lagi dengan fasa pertama Ramadhan Mubarak ini. Muhasabah, satu saat dan akhlak yang sentiasa memberi manfaat dan faedah yang amat berguna bagi setiap manusia yang hidup di dunia ini. Dengan Muhasabah barulah kita dapat menilai sekadar mana ibadah yang kita lakukan,sekadar mana usaha yang kita curahkan untuk menuju Ilahi. Semoga sahabat-sahabat dapat meneruskan lagi usaha anda dalam menghadapi kehidupan dalam Universiti Ramadhan ini.

Siapa agaknya yang kita dahulukan dalam kehidupan seharian kita.?? Ibubapa, Buddy, Jiran, Kekasih, Adik, Abang atau Kakak. Setiap kali bila kita ingin ke sekolah atau kolej, namun kekurangan duit saku memaksa kita untuk berhadapan dengan Ayah. "Abah, abah sihat hari ni?dah makan?macam mana kerja semalam?hari ni kerja pukul berape?" berdozen soalan yang dikemukakan oleh anak kepada ayahnya. "em..awak nak pergi mane?berape duit belanje nak?" Balas si ayahnya. Perkataan yang senang untuk kita gambarkan situasi anak ini adalah "terkantoi" sudah. Situasi yang selalu dilakukan seorang anak untuk membodek ayahnya atas sebab untuk meminta duit saku atau duit belanja. Dan dimana situasi ini juga amatlah difahami dan dapat diramal oleh setiap ayah didunia ini. Berdasarkan situasi tadi, Ayah kita pun akan memahami apa yang tersirat disebalik kelakuan anaknya itu. Situasi yang agak melucukan ini sering berlaku dan dilakukan oleh seorang anak kepada ayahnya. Bermacam-macam cara yang akan digunakan oleh seorang anak semata-mata untuk mendapatkan buit belanja daripada ayahnya. Namun begitu ayah yang telah melalui pelbagai ragam dan perangai daripada anak-anaknya tetap akan memahami maksud yang tersirat disebalik setiap apa yang anak-anaknya lakukan.

Walaupun begitu, tidak pernah kah kita semua berfikir sejenak dengan siapa kita perlu minta dahulu?. Bila diminta untuk berfikir sejenak, pada pendapat saya, jawapan yang akan timbul mestilah berdasarkan iman dan situasi kita sebagai hamba Allah swt di muka bumi ini. Alangkah bagusnya jika setiap apa yang kita mahu,ingin atau idamkan dalam kehidupan seharian kita ini kita berdoa kepada Allah swt atau dalam erti kata lain kita minta kepada Allah swt dahulu. Bahkan walau sekecil-kecil permintaan pun tidak salah untuk kita berdoa dan minta kepada Allah swt kerana setiap apa yang ingin kita lakukan mestilah dengan izin Allah, kalau Allah tidak mengizinkan sesuatu itu, maka tidak akan berlaku. Apalah salahnya jika kita meminta dengan Allah swt, insyaAllah, Allah swt amat menyukai hambaNya yang selalu bergantung kepadaNya setiap saat dan ketika.

"aku rase macam nak makan kuih seri muka dengan kek coklat la untuk buke puase nanti, ya Allah, hambaMu ini teringin sangat nak makan kuih seri muka dengan kek coklat buke puase nanti, Kau kabulkanlah permintaan hambaMu ini". Seremeh-remeh perkara pun tidak salah untuk meminta dan berdoa selagi tidak melanggar batas dan hukum syara'. Walaupun kita dapat jangka yang kita akan dapat 50sen jika diminta daripada Ayah, namun tidak salah jika kita dahulukan berdoa meminta kepada Allah swt. Jika setiap apa yang kita inginkan kita dahulu kan dengan berdoa meminta kepada Allah swt, MasyaAllah, alangkah tenangnya hati dan kehidupan kita sebagai hamba Allah kerana setiap apa yang kita mahu lakukan mesti kita dahulukan meminta kepada Allah swt.

Hidup kita sebagai hambaNya mestilah disaluti dengan ingatan kepadaNya, kerana tujuan manusia dijadikan di atas muka bumi ini tidak lain tidak bukan hanyalah untukNya, bukanlah untuk menjadi orang yang paling kuat, bukan untuk menjadi orang yang paling masyhur atau bukan untuk jadi orang yang paling kaya. Cubalah, untuk memahami kenapa kita dilahirkan di dunia ini dan cubalah untuk selalu ingat pada Allah swt setiap saat dan ketika tidak kira apa sahaja yang kita lakukan dan dimana sahaja kita berada. Diharapkan artikel pada kali ini dapat memberi kesedaran kepada penulis sendiri dan sahabat-sahabat pembaca. Allah swt tujuan kita, dan kepada Allah swt akan kita kembali. 

No comments:

Post a Comment