Kami sudah biasa dipandang dengan pandangan yang pelik
dan menghairankan semasa berlatih di taman pada setiap petang. Kadang-kadang,
ada juga ejekan dan kecaman yang diberikan tanpa apa-apa sebab. Begitulah
realiti masyarakat ketika itu, bahkan kini masih lagi tidak mampu untuk
bersangka baik dengan apa yang dilihat. Tidak mampu untuk menahan diri daripada
menghukum dan mengeluarkan kata-kata yang kesat tanpa usul periksa terlebih
dahulu.
Teringat peristiwa di mana ibu kepada seorang sahabat
yang sama belajar capoeira menanyakan perihal anaknya yang sudah lama
mempelajari seni bela diri capoeira ini kepada seorang penceramah agama. Jawapan
yang diterima agak mengejutkan kami semua kerana beliau berpandangan bahawa
kami semua perlu berhenti daripada mempelajari seni bela diri capoeira ini
kerana dikhuatiri ianya satu ilmu yang sesat. Disebabkan itu, sahabat kami
terpaksa menarik diri setelah bertahun berlatih bersama.
Bagi saya, jawapan yang diberikan oleh penceramah
tersebut terlalu berat sebelah kerana jika ia disebabkan capoeira seni bela
diri daripada luar, masih banyak lagi seni bela diri yang berasal daripada luar
negara diamalkan dan ada yang sudah sebati dengan masyarakat. Kami semua sedih
kerana kadangkala pendapat sebegini yang menjadikan masyarakat setempat
memandang serong terhadap aktiviti yang kami lakukan. Mudahnya menyesatkan
manusia daripada membimbing manusia yang sesat.
”Amir!
Awalnya sampai. Semangat betul awak nak berlatih petang ni.” Tegur abang Hisyam
daripada jauh.”aku biasa sampai awal di taman kerana waktu petangku sememangnya
aku peruntukkan untuk berlatih capoeira.
“kalau
lambat nanti, rugilah tak dapat panas badan dengan betul abang Hisyam. Lagipun
saya lagi takut kena denda sebab lewat ke latihan capoeira daripada lewat ke
kelas.” ketawa kecil abang Hisyam mendengar penjelasanku.
Pada
mula aku mengenali keluarga kecil ini, aku tidaklah terus diterima oleh semua
dengan cepat kerana mereka sudah lali dengan pelajar yang berhenti dalam jangka
masa yang pendek kerana sesi latihan yang agak berat berbanding seni bela diri
yang lain. Tambahan pula, apabila memberitahu bahawa aku pernah bersekolah
agama, ianya menjadikan suasana lebih janggal dalam kalangan mereka pada
awalnya. Abang Hisyam pernah menceritakan padaku sebelum aku sertai seni bela
diri capoeira ini, seorang pelajar sekolah agama yang kebetulan datang daripada
sekolah yang sama denganku pernah bersama-sama berlatih dengan mereka. Namun,
ianya tidak berakhir dengan baik dan pandangan mereka terhadap orang yang ada
latar belakang ilmu agama ini diburukkan lagi dengan pendapat seorang
penceramah agama yang menyatakan latihan seni bela diri capoeira ini adalah
sesat.
Ketika
itu, barulah aku tahu kenapa sukar untuk aku rapat dengan setiap rakan yang
berlatih bersama pada awalnya. Tidak dapat aku meletakkan kesalahan ini pada
mereka dan juga individu yang telah menjadikan pandangan mereka kepada orang
yang ada ilmu agama menjadi lebih kabur.
“amir!, jom solat, ajarlah kami cara solat yang baik.”.
Permintaan syafiq kali ini membuatkan hati aku sedikit teruja. Melihatkan medium
sahabat capoeira ini sebagai satu platform ataupun medan untuk aku praktikkan
bagaimana untuk berdakwah dengan sahabat yang tidak ada latar belakang
pendidikan agama.