”Amir!”,
tersentak aku mendengar panggilan abah. Lantas aku bangun dan terus menuju
dengan segera menyahut seruan abah yang sedang menonton televisyen. “lihat ni amir, video
persembahan capoeira kamu masuk tv. Hebat kamu ya. Abah pun belum pernah masuk rakaman
tv sepanjang 50 tahun hidup ni.” gembira abah melihat anaknya dapat masuk
televisyen. Bagiku, ianya menjadi satu rutin kerana aku sudah lama berkecimpung
dalam arena seni bela diri yang dikenali sebagai capoeira. Berasal daripada
Brazil, membuatkan ianya unik dan lain daripada yang lain. Capoeira mempunyai
banyak elemen yang digabungkan menjadikan seni bela diri ini lebih dinamik dan
menarik.
Terkenang kembali saat aku bersama adikku faiz, kami
gemar mengikut rentak yang biasa digunakan dalam seni bela diri capoeira kerana
terikut-ikut dengan cerita daripada luar negara yang agak popular ketika tahun
90 an berjudul only the strong. Pada masa itu, kami rasakan yang capoeira ni
hanyalah satu gerakan seni bela diri yang dirancang sebelum dilaksanakan kerana
gerakan serangannya begitu pantas namun pihak lawan tetap dapat melakukan
pertahanan dengan mengelak dan melakukan serang balas dengan cepat. Ternyata
sangkaan kami adik beradik meleset sama sekali kerana seni bela diri capoeira
sememangnya tidak merancang setiap serangan dan pertahanan yang dilakukan.
Ianya adalah refleksi yang cepat hasil daripada latihan yang lama dan
konsisten. Dengan iringan muzik menjadikan ianya lebih menarik perhatian dan
menyeronokkan.
Takdir menemukan aku dengan abang hisyam yang merupakan
salah seorang jurulatih seni bela diri capoeira ini ketika aku berumur 15
tahun. Dek kerana komitmen kepada pelajaran ketika itu, aku terpaksa
membatalkan niat untuk mempelajari capoeira.
Capoeira, satu titik perubahan yang berlaku dalam diri
aku, kerana dengannya aku dapat mengenali sahabat yang bukan daripada latar
belakang yang sama denganku. Aku telah keluar daripada zon selesa sebagai
seorang pelajar sekolah agama dengan menjadikan rakan-rakan daripada keluarga
seni bela diri capoeira ini sebagai satu medium untuk aku praktikkan dakwah
yang sesuai bagi mereka yang bukan datang daripada latar belakang pendidikan
agama yang khusus.
Sukar untuk golongan awal remaja sepertiku yang sudah
biasa dengan suasana dan disiplin sebagai pelajar agama, tidak kira di mana
sahaja, pergaulan, pertuturan dan perbuatan dijaga dengan sebaik mungkin agar
tidak mencemarkan imej sebagai pelajar sekolah agama. Aku dan sahabat yang sama
bersekolah agama juga berpandangan bahawa susah untuk kami menjaga imej sebagai
pelajar sekolah agama terutama bila kami berada diluar sekolah dengan pakaian
seragam sekolah. Kadangkala pernah berlaku insiden salah faham di antara
pasukan daripada sekolah aku dengan sebuah sekolah berprestasi tinggi di daerah
yang sama hingga menyebabkan segelintir individu menyebarkan cerita bahawa
pelajar sekolah agama hanya merosakkan imej sekolah agama kerana terlalu
emosional. Pendek kata, pada masa itu, aku rasakan bahawa masyarakat menganggap
pelajar sekolah agama ini terlalu sempurna tanpa cacat celanya, namun jika
berlaku sesuatu perkara, banyak pihak yang tanpa usul periksa menuding jari
kepada pelajar sekolah agama.
Disebabkan itu, ramai pelajar sekolah agama pada masa
itu, merasakan lebih selesa duduk dalam kalangan sahabat-sahabat yang datang
daripada latar belakang pendidikan yang sama. Dengan itu, tidak ada anggapan
dan harapan yang diletakkan yang akhirnya akan menimbulkan satu isu yang tidak
akan habis dibincangkan.
Walaupun aku bukanlah seorang yang peramah dan mudah
bergaul dengan orang, aku tetap mahu mencuba untuk keluar daripada zon selesa
yang telah diamalkan sejak sekian lama ini. Aku rasakan dengan usaha ini,
mungkin aku dapat membuat satu perubahan yang lebih baik terutamanya dari aspek
keyakinan juga kemahiran sosial.
”Assalamualaikum! Oh, kak zue!”, aku terkejut apabila
melihat makcik fatimah sudah pun berdiri betul-betul dihadapan aku yang mana
ketika itu aku sedang asyik mendengar lagu daripada radio di ruang tamu
rumahku. ”Mana ibu kamu along?”, tanya makcik fatimah kepadaku. Dek kerana
terlalu malu, aku terus berlari ke dapur hingga terlupa memberitahu ibuku yang
makcik fatimah datang mencarinya.
Tersenyum sendiri aku bila mengingat kembali betapa
pemalunya aku waktu kecil hingga tamat sekolah menengah dahulu. Hinggakan ibu
dan abah merasakan sifat pemalu aku pada masa itu sangat kritikal kerana mereka
risau ianya mungkin akan dipandang sebagai satu tindakan tidak hormat kepada
orang yang lebih tua.
Alhamdulillah, terima kasih aku pada sahabat yang
menuntut ilmu capoeira bersamaku dengan abang Hisyam. Kelab seni bela diri kami
tidaklah semegah seni bela diri yang lain, yang mana tempat latihan seni bela
diri biasanya diadakan di gimnasium ataupun dewan. Taman rakyat lah tempat
jatuh dan bangun kami bertahun-tahun, bahkan ada dari kalangan pelajar capoeira
ini telah menuntut ilmu capoeira dengan abang Hisyam melebihi satu dekad.
Kekurangan ini kami hadapi kerana tiada modal untuk menyewa satu dewan ataupun
ruangan khusus di mana-mana gimnasium. Seni bela diri yang wujud kini sangat
banyak, Silat, Taekwondo, karate, judo, kickboxing, tinju, tomoi, dan banyak
lagi. Capoeira antara seni bela diri yang baru di bumi nusantara ini.
No comments:
Post a Comment