Assalamualaikum wbt,
Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepi daripada dunia blogging, mungkin disebabkan semangat yang lahir pada hari pertama Ramadhan yang mulia ini, terkenangkan semasa aktiviti blogging yang begitu aktif sebelum ini. Semoga kali ini masih lagi dapat menyumbang idea-idea untuk dikongsikan dalam blog ini dengan mesej dakwah kepda semua.
Dalam tempoh masa yang lama menyepi daripada dunia blogging ini, banyak yang telah berlaku. Ada yang manis dan tidak berkecuali juga dugaan yang pahit untuk ditelan, namun sebagai hamba Allah s.w.t, kita tidak akan terkecuali daripada dugaan dan cabaran dalam kehidupan di dunia yang fana ini.
Pejam celik sekarang sudah pun tahun 2013, dan hari ini adalah hari pertama Ramadhan 1434H. Masih lagi berada di bumi Anbiya' ini. Mungkin banyak lagi yang perlu disemai sebelum diberikan rezeki untuk pulang ke tanah air yang dirindui.
Suasana sambutan Ramadhan di Jordan kali ini sama seperti tahun sebelumnya, sangat meriah kerana masa inilah umat muslimin berlumba untuk memperbanyakkan amal ibadah. Bulan ini jugalah sambutan kehadiran di Masjid-masjid sangat memberansangkan seperti suasana kehadiran jemaah solat jumaat. Bilangan jemaah yang hadir ke Masjid untuk solat Fardhu juga meningkat pada bulan ini. Inilah antara keistimewaan Bulan Ramadhan yang Allah swt berikan peluang satu bulan kepada semua hambaNya untuk mendidik dan memperbaiki semula amal ibadah supaya pada bulan-bulan berikutnya iman kita telah terdidik dengan amal-amal ibadah yang telah kita bertungkus lumus amalkan disepanjang bulan Ramadhan ini.
Didoakan juga supaya diri ini dan semua sahabat dan saudara Muslim seluruh dunia, memperbaiki iman dan memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah s.w.t dan mendidik diri dan hati supaya menjadi seorang muslim yang dapat membawa imej Islam yang terbaik bukan sahaja kepada sesama muslim, bahkan kepada yang belum muslim lagi.
Perbanyakkanlah zikir kepada Allah s.w.t daripada membuang masa dengan tidur dan rehat yang berlarutan pada siang hari. Selalukanlah membasahkan lidah dengan bacaan Al-Quran. Jangan hanya kejar khatam Al-Quran, yang paling penting ialah tadabbur dan mengerti setiap kalam Allah s.w.t dalam kitab Suci itu.
Banyakkan sedekah dan jangan berlebihan dalam berbelanja terutamanya kepada makanan samada untuk berbuka ataupun bersahur. Rasullulah s.a.w mengajar kita supaya bersederhana dalam kehidupan kita kerana dengan sifat bersederhana itulah membuatkan kita tidak merasakan wujudnya kekurangan dalam menghadapi kehidupan duniawi ini.
Ramadhan Kareem kepada semua umat muslimin diseluruh dunia, Kullu 'am wa entum bi alfun kher.
Sekian sahaja penulisan entri pertama saya pada tahun 2013 ini yang juga hari pertama Ramadhan yang mulia ini, Marilah kita sama-sama berlumba dalam mengerjakan amal ibadah kepada Allah s.w.t tidak kira siang dan malam supaya iman dan hati kita terdidik untuk meneruskan segala amal ibadah ini dalam sepanjang kehidupan kita akan datang.
Wassalam alaykum wbt..
No comments:
Post a Comment