Tuesday, July 15, 2014

Ramadhan 1435


Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah kita sudah menerima kunjungan bulan mulia Ramadhan pada tahun ini 1435 Hijriyah dan telah memasuki fasa pertengahan juga iaitu 18 ramadhan. Dengan kemeriahan sambutan ramadhan kali ini saya mengharapkan masyarakat lebih menumpukan kepada kemeriahan spiritual dan menzahirkan kegembiraan dalam bentuk amal ibadah.

Kita tidak boleh hanya menganggap dengan peningkatan kesederan masyarakat dalam menyambut ramadhan dengan gembira sahaja yang diperlukan dalam kehidupan kita di dunia ini. Walau dengan apa cara sekali pun, perlulah diiringi dengan amal ibadah yang ikhlas. Kalau betul kita sememangnya gembira dengan kehadiran ramadhan, bermakna sewaktu bulan ramadhan, kita perlu memperbanyakkan lagi amal ibadah untuk menguatkan iman kita dalam menghadapi cabaran dan dugaan selepas tamatnya ramadhan kelak.

Namun, masih ramai lagi yang suka bergantung dengan kesedaran keagamaan tapi tanpa amalan, seakan bagi mereka apa-apa tentang agama hanya perlu dilakukan didalam hati sahaja tanpa menzahirkan tindakan. Rugilah kerana kita sudah menyedari bahawa bulan ramadhan sahajalah bulan yang memberi peluang untu setiap muslim diseluruh dunia untuk menjadi seorang yang lebih bertaqwa. Dengan taqwa yang diperolehi akan menjadikan jati diri kita sebagai orang islam semakin kuat dan tabah mengharungi segala dugaan dan cabaran yang ada sepanjang kehidupan didunia yang penuh tipu daya dan hasutan kearah kemungkaran ini.



Yang paling istimewa tentang bulan ramadhan, kita dapat menyaksikan pelbagai juadah yang dipamerkan di bazar ramadhan dimana-mana sahaja yang kita lawati. Alhamdulillah, itu juga sebahagian barakah yang ada dibulan ramadhan, mungkin kita tidak endah lansung betapa makanan itu satu perkara yang istimewa buat kita semasa bulan-bulan yang lain, yang penting cukup masa kita akan makan apa-apa sahaja makanan halal yang mengenyangkan.

Dengan kehadiran Ramadhan, kita dapat lihat pelbagai jenis juadah, lauk-pauk, kuih-muih, air dan sebagainya yang sukar untuk kita jumpa pada bulan-bulan lain dan kebiasaannya kita akan lebih cakna tentang makanan apa yang akan kita makan pada waktu berbuka dan juga waktu sahur. Ibadah berpuasa itu sendiri memberi kita pengalaman merasai sendiri bagaimana golongan fakir miskin yang tidak mampu menyediakan makanan untuk keluarga sepertimana kita yang mampu makan pada setiap waktu makan dan kadang ada yang lebih waktu makannya.



Kalau nak disebutkan tentang amal ibadah yang boleh kita lakukan dalam bulan puasa ini terlalu banyak, yang paling utama adakah diri kita ini kuat untuk melawan nafsu kita sendiri?? yang mana semua sudah sedia maklum, syaitan telah pun diikat dan pintu neraka telah pun ditutup dan yang tinggal hanyalah nafsu kita yang telah lama biasa dengan hasutan dan keinginan duniawi yang tinggi.

Dalam gambar diatas menunjukkan secara mudah apa yang tidak boleh dibuat dan apa yang perlu kita buat semasa berlangsungnya bulan ramadhan yang mulia ini.

Diharakan semoga Ramadhan 1435 ini akan menjadi ramadhan yang lebih baik daripada yang sebelumnya dan semoga kita benar-benar dapat menjadi muslim yang bertaqwa dan memenuhi identiti dan personaliti seorang muslim yang cemerlang dan berjaya supaya dengan personaliti dan jati diri yang tulen dan bagus, ianya mampu menjadi dakwah kepada orang bukan muslim dan juga kepada orang muslim untuk kembali kepada fitrah sebenar dan memenuhi misi yang perlu kita laksanakan sepanjang kehidupan kita didunia yang sementara ini, InsyaAllah, amin.

Ramadhan Kareem, Allahu Akram...

So-One.
SRI Al-Ainani,
Taman Sri Andalas,
Klang,Selangor.
2048
18th Ramadhan 1435H
15th July 2014M.


No comments:

Post a Comment