Assalamualaikum wbt,
Masih belum terlambat nak ucapkan Salam Aidilfitri kepada semua insan yang menyambut Eid Mubarak 1433 tahun ini.
Bila sampai saat nak menyambut Aidilfitri ataupun di Malaysia lebih dikenali sebagai Hari Raya ni, memang macam-macam tafsiran boleh kita huraikan dan gambarkan. Sebagai contoh, di Malaysia, sebelum bulan Ramadhan tiba kita sudah mula fikirkan bagaimana persiapan untuk raya nanti. Baju Raya, Kuih Raya, Juadah Raya, Rumah Raya, Kereta Raya, dan antara yang paling orang fikirkan adalah Duit Raya.
Sudah menjadi keperluan untuk setiap isi rumah merancang persiapan lebih awal supaya tidak susah di kemudian hari tetapi ibadah di bulan Ramadhan yang mulia pun janganlah sampai diabaikan dengan kesibukan untuk menyambut Hari Raya sahaja.
Bagi sesiapa yang masih belum mempunyai 'single-mingle' diluar sana janganlah sibuknya untuk persiapan raya melebihi orang yang sudah berkeluarga. Lebih baik untuk kita fokus kepada yang lebih utama buat kita iaitu Bulan Ramadhan. Masa ini lah kita nak tarbiyah diri kita yang insyaAllah akan tiba juga masa untuk berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab yang besar dan yang paling penting, 100% pasti dan muktamadnya kita akan pergi mengadap Illahi suatu hari nanti.
"Carilah rezeki seumpama kita akan hidup 1000 tahun lagi,
Dan beribadahlah seperti kita akan mati pada keesokan harinya."
Pepatah ini biasa saya dengar dalam setiap tazkirah ataupun ceramah(nak kate rajin gi tazkirah & ceramah lettew..konon je wat ayat ni..hehe). Walauapapun janganlah kita lari daripada tujuan sebenar kita hidup atas muka bumi Allah swt ini.
Ramadhan 1433 yang lalu telah berlalu meninggalkan kita. Doalah sebanyak dan sekerap mungkin supaya kita dapat bertemu lagi Ramadhan yang akan datang. Bulan yang membawa semua manusia kembali kepada fitrah sebenar kenapa kita dicipta dan dijadikan khalifah di Bumi Allah swt. Ramadhan yang sangat istimewa dan lain daripada bulan yang lain kerana bulan Ramadhan sahaja yang mampu membawa setiap umat islam diseluruh dunia beristiqamah di masjid-masjid dan surau-surau. Bulan Ramadhan sahaja yang mampu membuatkan setiap umat islam diseluruh dunia bangun malam menunaikan solat tahajud dan menadah tangan memohon ampun kepada Allah swt setiap malam. Bulan Ramadhan sahaja yang mampu menjadikan masjid dan surau penuh dengan kehadiran insan-insan yang ingin menunaikan solat sunat tarawih dan juga tazkirah untuk pengisian rohani. Sedekah dan derma tidak putus kunjung tiba di setiap rumah anak yatim, rumah orang tua dan setiap institusi kebajikan. Dan yang paling penting, bulan Ramadhan sahaja yang mampu melemahkan nafsu kita untuk melakukan kejahatan dan kemungkaran, kurangnya umpatan dan celaan, banyaknya tadarus Al-Quran dan kelas-kelas agama.
MasyaAllah, sungguh istimewa bulan Ramadhan kan. Setiap daripada kita akan mengambil kesempatan diatas barakahnya Ramadhan ini dengan melakukan amal ibadah mengikut kemampuan diri masing-masing. Alhamdulillah, dimana sahaja akan kelihatan biah soleh ini kerana Allah swt memang menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk setiap manusia sedar akan tujuan sebenar kita dicipta oleh Allah swt iaitu tidak lain tidak bukan, untuk beribadah kepada Allah swt.
Kalaulah, di bulan Ramadhan kita mampu untuk bangun pada setiap malam, menangis memohon taubat dan ampun dari Allah swt, membaca Al-Quran pada setiap selepas waktu solat, hadir ke masjid dan surau untuk bersolat jemaah dan banyak melakukan amalan sunat, TAKKANLAH pada bulan-bulan yang lain, yang makan minum kita lebih daripada cukup di siang hari, lansung tidak dapat kita teruskan semua yang kita sudah kerap lakukan selama sebulan dalam Ramadhan.
Antara ibadah yang paling Allah swt suka ialah yang istiqamah walaupun sedikit. Apa kita tunggu lagi, ambil lah sebanyak mana peluang yang telah Allah swt berikan kepada kita sementara kita masih lagi bernafas dengan udaraNya dan melangkah diatas bumiNya ini.
Jangan lupa juga sambutan Syawal tetap perlu kita teruskan dengan suasana yang gembira dan ceria. Salam Aidilfitri 1433 kepada semua rakan-rakan yang mengenali saya ataupun tidak. Kullu 'am wa entum bikher. Taqabbalallahu minna wa minkum. wassalam alaykum.
No comments:
Post a Comment